Saturday 19 April 2014

Hukuman penjara lima tahun terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berpunca daripada keengganan beliau memberi keterangan atau menafikan kejadian dakwaan liwatnya terhadap Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun 2008.

Menurut Hakim Datuk Balia Yusof Wahi, Anwar sendiri tidak menafikan berada di tempat kejadian pada masa dan tarikh yang didakwa oleh pihak Pendakwa Raya.

"Dia (Anwar) tidak pernah mempertikaikan bahawa keretanya dilihat memasuki dan meninggalkan kondominium di masa yang dimeterai.

"Beliau juga tidak membantah bahawa dia dilihat memasuki lif ke tingkat lima kondominium dan meninggalkan premis tersebut," katanya menerusi kenyataan bertulis beliau yang diterbitkan hari ini.

Balia mengetuai panel Hakim Mahkamah Rayuan bagi kes liwat-2 Anwar terhadap bekas Pembantu Peribadinya, Saiful.

Dua lagi panel Hakim bagi kes tersebut, Datuk Azizah Ali dan Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Tan Sri Dr Muhammad Shafee Mohd Abdullah dan dibantu oleh Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria dan Noorin Badaruddin.

Sementara itu Anwar yang dinamakan sebagai responden diwakili oleh Peguam, Karpal Singh yang dibantu oleh Ram Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo, Zaleha Al-Hayat dan Jeremy Vinesh Anthony.

Saiful menerusi kenyataan pembelaannya berkata beliau ke Unit 11-5-2, Desa Damansara Condominium, No 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara diatas arahan Anwar dengan menaiki van Fiat dengan nombor pendaftaran WPK 5925, milik bekas bapa tunangnya, Mohamad Zaki Mohamad.

Keterangan Saiful turut menjelaskan bahawa Anwar telah tiba di premis tersebut lebih awal dari jam 2.45 petang dan beliau menyerahkan dokumen kerja kepada Anwar setibanya beliau di unit kondominium tersebut setersnya diarahkan untuk ke bilik tidur utama sebelum diliwat.

Keputusan Balia juga menyebut bahawa panel Hakim sebulat suara mendapati bahawa Anwar hanya melakukan penafian kosong dengan menidakkan kejadian tersebut berlaku dan tidak melakukan kenyataan pertahanan balas terhadap bukti yang dilemparkan kepada beliau.

"Seperti yang telah dinyatakan, kenyataan balas responden (Anwar) merupakan alibi yang diberikan menerusi notis sebelum perbicaraan bermula.

"Namun ketika perbicaraan, kenyataan pembelaan tersebut rupanya tidak diteruskan diatas sebab yang hanya diketahui beliau.

"Kenyataan pertahanan menggunakan alibi adalah penting untuk membebaskan responden dari kesalahan yang dituduh," tulisnya lagi.

Jelas Balia, responden juga gagal mengemukakan saksi untuk menyokong alibi yang diragui kesahihannya dan panel hakim bersetuju bahawa peguam responden gagal menyangkal sangkaan buruk terhadap tertuduh dalam perbicaraan.

"Tiada kewajipan bagi pihak tertuduh untuk mengemukakan mana-mana bukti.

"Beliau mempunyai kebebasan untuk menawarkan keterangan atau tidak sepertimana dikehendakinya dan tiada kesimpulan tidak menguntungkan kepada beliau kerana memilih keputusan (tidak memanggil saksi) dan bukannya cara yang lain (mengemukakan saksi)," ujarnya lagi.